Salam perjuangan
kepada rakan2 warga pendidik & para pelajar.....
Sedar tak sedar hari
ni dah nak berakhirnya Week 4 sessi Jan - June 2012 utk para pelajar KPMSI.
Dalam ms yg sama juga tekanan mula dirasai oleh para pelajar & pensyarah
sbb assignment...test dll dah mula muncul. Hahaha...semua dah mula pening
kepala. So hari ni sy nak share dgn para pembaca blog ni ttg cara @ kaedah utk
menangani stress cara Islam.
Sebenarnya terdapat banyak kaedah menghadapi
tekanan berlandaskan ajaran Islam yang cukup berkesan untuk diamalkan. Tapi utk
kali ini cukuplah kita kongsikan 5 kaedah utama dulu sebagai panduan kita
bersama.
Pertamanya,
menjaga solat fardu lima waktu
dan memperbanyakkan solat sunat.
Banyak kajian pakar psikologi barat sendiri yang
telah memperakukan fadilat solat dalam memberi ketenangan jiwa dan pemikiran
seseorang. Menurut kesimpulan beberapa kajian sarjana barat, secara
saintifiknya solat merupakan suatu tempoh masa 'aman dan damai' di mana seluruh
tubuh dan minda seseorang terfokus kepada sesuatu (kepada Allah SWT).
Gerakan-gerakan dan keadaan minda dalam solat
berupaya menghalang pengaliran keluar hormon-hormon seperti Cortisol,
Epinephrine dan Norepinephrine daripada kelenjar adrenalin yang bertindak balas
terhadap sebarang tekanan. Solat turut membantu memberi intervensi positif
terhadap sistem pernafasan, aliran oksigen dalam badan, degupan jantung, dan
gelombang otak.
Daripada konteks Islam, dengan mendirikan solat
fardu lima waktu dan dilengkapkan dengan amalan solat-solat sunat
yang pelbagai, seseorang itu akan diberikan pertolongan oleh Allah SWT dalam
sebarang kesukaran seperti mana firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat
153 maksudnya:
"Wahai sekalian orang-orang yang beriman!
Mintalah pertolongan dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang;
kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar.'
Keduanya
dengan amalan berzikir seperti bertakbir, bertahmid, bertasbih dan
sebagainya merupakan amalan yang mampu menenangkan jiwa sebagaimana jaminan
Allah SWT dalam surah ar-Ra'd ayat 28 maksudnya:
"(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang
tenteram hati mereka dengan zikrullah". Ketahuilah dengan
"zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia.'
Ketiganya, mengamalkan mendengar, membaca dan
menghayati akan tafsir al-Quran.
Diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW pernah
bersabda bahawa, 'al-Quran adalah penawar kepada kesakitan minda' (riwayat
Bukhari). Membaca al-Quran sendiri memberikan ketenangan kepada pembaca malah
kepada sesiapa yang mendengar bacaannya apatah lagi jika ayat-ayat Allah itu
difahami, dihayati dan dijadikan panduan dalam kehidupan. Ini adalah kerana
al-Quran (dan al-hadith) merupakan sumber teragung dalam merungkaikan segala
permasalahan manusia.
Keempatnya,
meletakkan keyakinan bahawa kehidupan dunia ini adalah sementara dan akhirat
jua tempat yang kekal selama-lamanya.
Dengan cara ini, jiwa akan terasuh untuk
menyedari bahawa apa sahaja yang berlaku di dunia ini baik ia bersifat positif
ataupun negatif adalah sekadar 'warna kehidupan dunia yang tidak kekal lama'
dan akan mendapat balasan yang setimpalnya di akhirat kelak.
Tekanan yang dihadapi di tempat kerja akan
menjadi sesuatu yang terlalu kerdil jika dibandingkan dengan apa yang akan
dihadapi di Padang Mahsyar kelak. Diri kita akan sentiasa takutkan azab api
neraka dan berusaha mencari keredhaan-Nya dan dimasukkan ke dalam syurga.
Kelimanya,
dengan amalan berdoa, memohon keampunan dan menyerahkan segala apa
yang telah diusahakan bagi mengatasi tekanan diri untuk ketentuan-Nya. Allah
SWT berfirman dalam surah al-Ghaafir ayat 60 bermaksud: Dan Tuhan kamu berfirman:
"Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku
perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur
daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahanam dalam keadaan
hina."
Jika
diri kita telah bersungguh-sungguh cuba mengatasi tekanan, mengikut saluran dan kaedah yang
tepat, maka kita juga perlu bersifat tawakkal dan ikhlas menerima segala
ketentuan-Nya.
Kesimpulannya,
walau sebesar manapun masalah atau kesukaran yang menyumbang kepada tekanan di
tempat kerja, kita perlu sedar bahawa ianya boleh dihadapi dengan jayanya jika
tindak-tanduk kita menepati syariat Islam. Firman Allah SWT dalam surah al-Fajr, ayat 27-30
yang bermaksud:
"Wahai
orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang tetap dengan kepercayaan dan
bawaan baiknya. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati
(dengan segala nikmat yang diberikan) lagi diredai (di sisi Tuhanmu). Serta
masuklah engkau dalam kumpulan hamba-hambaku yang berbahagia. Dan masuklah ke
dalam Syurgaku."
Jika
hati dan pemikiran kita sentiasa bersandarkan kepada sifat tawaduk, yakin dan
syukur kepada Allah SWT, maka diri kita akan diberikan petunjuk dan hidayah-Nya
dalam menangani segala tekanan tersebut.
Sekian….wassalam…”Sharing
Is Caring”
0 comments:
Post a Comment